Diari Musafir Ilmu 2
Salam kesejahteraan dan keselamatan buatmu guru,
Hari itu, aku dikunjungi guru
baru. Guru ini sangat aneh bagiku. Namun, aku tetap perlu menerimanya seadanya
dalam musafirku menuntut ilmu. Guru ini pelik, fikirannya caca merba. Ayatnya
berputar-putar, namun isinya masih ada. Cuma, aku perlu berhati-hati dalam
menapis ‘ilmu’ yang dicurahkannya. Ah, mungkin kalian mengenali gerangan guruku
ini, tidak mengapalah, aku xperlu mendedahkan siapa jua identity guruku.
Aku mempelajari tentang hakikat
sebenar keimanan, yang mana tanpa kepercayaan memang sudah tiada apa yang boleh
kita laksanakan. Aku juga memperhalusi jiwa seorang yang kecewa, di mana dari
kekecewaan itu kepercayaan (keimanan)-nya hilang dan musnah. Hakikatnya, dia
sudah tidak mampu mendengar syarahan panjang tentang nafi dan itsbat dalam
kalimah syahadatain. Katanya itu sume penipu! Dadaku berombak kencang kala ‘guruku’
itu berbicara. Risau pada sahabat-sahabat yang masih baru dalam ilmu ini. Aku
kira dalam perkara ini, pandanganku bercanggah peratus penuh dengan dia.
Hati kecilku berbisik ke dalam
jiwa guruku, tiada siapa yang tahu di mana maqamnya di akhirat kelak. Hatta
Rabiah al-Adawiyah kala disoal bagaimana dia mengetahui akan kedudukannya di
sisi Tuhannya menjawab : “Engkau mengetahuinya dengan bagaimana, sedang aku
mengetahuinya tanpa bagaimana”. Bererti Rabiah sendiri tidak bertanya
bagaimana, kerana sangkaan baiknya pada Allah begitu melangit, tak tercapai dek
akal insan biasa. Kala guru mempersoalkan tentang kewujudan akhirat, katanya
tiada seorang pun manusia yang telah mati dan hidup semula untuk memberitakan
kewujudan alam barzakh. Benar, aku xmenyanggah kata-katamu. Namun, aneh juga
bila akhirat tidak kau percayai tapi konsep penjelmaan semula atau hukum karma
ajaran Budhha kau yakini. Pelik, kerana keadaannya sama…tiada orang yang
dijelmakan semula boleh mengingati apa yang telah dilakukan dalam kelahiran
lepas.
Kau terus persoalkan itu dan ini.
Ku lihat kau mengikuti jejak langkah Ahmad Wahib, katanya, “Tuhan bukan daerah
terlarang untuk pemikiran”. Pantas sahaja, semua ulama’ kontemporer bisa kau
langgari, apatah lagi ilmuwan kecil-kecilan yang lain. Aku kagum dengan
keberanianmu, apatah lagi dengan kerajinanmu menelaah buku mahupun kitab. Ilmu
itu luas bidangnya, dan ilmu yang bermanfaat itu membuatkan jiwa kita dekat
dengan Tuhan. Aku risau sebenarnya, risau kalau-kalau aku atau engkau adalah
kelompok yang disindir Allah dalam firmannya:
“ Dan diantara manusia ada yang
pembicaraannya tentang kehidupan dunia mengagumkan engkau (Muhammad), dan dia
bersaksi kepada Allah mengenai isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang
paling keras” ( Al-Baqarah : 204 )
Aku memohon ampun buat diriku dan dirimu, moga kita
benar-benar menjadi pencari kebenaran hakiki. Bukan si sombong yang gilakan
kemahsyuran. Bukan jua si angkuh yang mendabik kehinaan.
Teguranmu
buat si pembawa risalah sangat aku setujui. Benarlah, poligami yang dituntut
Islam menggalakkan pernikahan kali kedua bersama si janda atau si miskin atau
muallaf. Bukan bersama anak dara yang menjadi kegilaan remaja lainnya. Andai
benar inginkan pernikahan, katakan sahaja kalian suka…bukan menjadikan dakwah
sebagai alasan. Tidak mengapa atas pengakuan itu, syariat tidak marah, Allah
tidak murka. Jadilah orang agama yang beragama bukan sekadar belajar agama. Ini
jua teguran buat diriku sendiri.
Tegurmu
lagi, pak-pak ustaz kini duduk diam tidak buat kerja. Benar, aku sokong katamu
apabila fatwa yang dikeluarkan tak mampu memberi kesan apa-apa. Bukan sahaja
tidak memberi kesan, malah seringkali fatwa dikeluarkan untuk membenarkan
tindakan pimpinan teratas. Apa guna adanya agamawan, kalau kecut menghadap
tuan, sedang Tuhan hanya diketepikan. Namun, masih ada agamawan yang jujur.
Hati mereka ikhlas dalam menegakkan panji Tuhan. Dr. Maza masih tegar dalam
menegur pimpinan, Ustaz Zahazan masih kuat walau terkadang mengecam pimpinan,
dan Ustaz Zamri walau di ‘gam’ masih terus-terusan melebarkan senyuman dakwah! Oh,
aku terlupa…kecewamu pada orang agamawan telah membutakan matamu dari semua
ini. Tidak mengapa, semoga matamu celik kembali selepas pembedahan yang
menyakitkan.
Guruku, hatiku bersenandung merdu. Aku
pencinta kebenaran dan kau dakwa dirimu jua begitu. Namun, kenapa serasinya
tiada? kenapa lubangnya tidak secocok?. Mungkin sahaja, kebenaran yang kupinta
dan kebenaran yang kau terokai itu berbeda. Tidak mengapalah wahai guru,
melangkahlah engkau pada jalanmu dan aku bertatih pada landasanku. Moga kelak cahaya bersinar yang kita temui di penghujung jalan ini. Apa-apapun, aku
menucapkan…Terima Kasih guruku! Terima Kasih ya Rabbul Izzati~ ^^
Comments
Post a Comment
~ thanks for your comments~