2014-01-12

Diari Musafir Ilmu 2

Salam kesejahteraan dan keselamatan buatmu guru,

Hari itu, aku dikunjungi guru baru. Guru ini sangat aneh bagiku. Namun, aku tetap perlu menerimanya seadanya dalam musafirku menuntut ilmu. Guru ini pelik, fikirannya caca merba. Ayatnya berputar-putar, namun isinya masih ada. Cuma, aku perlu berhati-hati dalam menapis ‘ilmu’ yang dicurahkannya. Ah, mungkin kalian mengenali gerangan guruku ini, tidak mengapalah, aku xperlu mendedahkan siapa jua identity guruku.

Aku mempelajari tentang hakikat sebenar keimanan, yang mana tanpa kepercayaan memang sudah tiada apa yang boleh kita laksanakan. Aku juga memperhalusi jiwa seorang yang kecewa, di mana dari kekecewaan itu kepercayaan (keimanan)-nya hilang dan musnah. Hakikatnya, dia sudah tidak mampu mendengar syarahan panjang tentang nafi dan itsbat dalam kalimah syahadatain. Katanya itu sume penipu! Dadaku berombak kencang kala ‘guruku’ itu berbicara. Risau pada sahabat-sahabat yang masih baru dalam ilmu ini. Aku kira dalam perkara ini, pandanganku bercanggah peratus penuh dengan dia.

Hati kecilku berbisik ke dalam jiwa guruku, tiada siapa yang tahu di mana maqamnya di akhirat kelak. Hatta Rabiah al-Adawiyah kala disoal bagaimana dia mengetahui akan kedudukannya di sisi Tuhannya menjawab : “Engkau mengetahuinya dengan bagaimana, sedang aku mengetahuinya tanpa bagaimana”. Bererti Rabiah sendiri tidak bertanya bagaimana, kerana sangkaan baiknya pada Allah begitu melangit, tak tercapai dek akal insan biasa. Kala guru mempersoalkan tentang kewujudan akhirat, katanya tiada seorang pun manusia yang telah mati dan hidup semula untuk memberitakan kewujudan alam barzakh. Benar, aku xmenyanggah kata-katamu. Namun, aneh juga bila akhirat tidak kau percayai tapi konsep penjelmaan semula atau hukum karma ajaran Budhha kau yakini. Pelik, kerana keadaannya sama…tiada orang yang dijelmakan semula boleh mengingati apa yang telah dilakukan dalam kelahiran lepas.   

Kau terus persoalkan itu dan ini. Ku lihat kau mengikuti jejak langkah Ahmad Wahib, katanya, “Tuhan bukan daerah terlarang untuk pemikiran”. Pantas sahaja, semua ulama’ kontemporer bisa kau langgari, apatah lagi ilmuwan kecil-kecilan yang lain. Aku kagum dengan keberanianmu, apatah lagi dengan kerajinanmu menelaah buku mahupun kitab. Ilmu itu luas bidangnya, dan ilmu yang bermanfaat itu membuatkan jiwa kita dekat dengan Tuhan. Aku risau sebenarnya, risau kalau-kalau aku atau engkau adalah kelompok yang disindir Allah dalam firmannya:

Dan diantara manusia ada yang pembicaraannya tentang kehidupan dunia mengagumkan engkau (Muhammad), dan dia bersaksi kepada Allah mengenai isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras” ( Al-Baqarah : 204 )

Aku memohon ampun buat diriku dan dirimu, moga kita benar-benar menjadi pencari kebenaran hakiki. Bukan si sombong yang gilakan kemahsyuran. Bukan jua si angkuh yang mendabik kehinaan.
   
Teguranmu buat si pembawa risalah sangat aku setujui. Benarlah, poligami yang dituntut Islam menggalakkan pernikahan kali kedua bersama si janda atau si miskin atau muallaf. Bukan bersama anak dara yang menjadi kegilaan remaja lainnya. Andai benar inginkan pernikahan, katakan sahaja kalian suka…bukan menjadikan dakwah sebagai alasan. Tidak mengapa atas pengakuan itu, syariat tidak marah, Allah tidak murka. Jadilah orang agama yang beragama bukan sekadar belajar agama. Ini jua teguran buat diriku sendiri.
    
                Tegurmu lagi, pak-pak ustaz kini duduk diam tidak buat kerja. Benar, aku sokong katamu apabila fatwa yang dikeluarkan tak mampu memberi kesan apa-apa. Bukan sahaja tidak memberi kesan, malah seringkali fatwa dikeluarkan untuk membenarkan tindakan pimpinan teratas. Apa guna adanya agamawan, kalau kecut menghadap tuan, sedang Tuhan hanya diketepikan. Namun, masih ada agamawan yang jujur. Hati mereka ikhlas dalam menegakkan panji Tuhan. Dr. Maza masih tegar dalam menegur pimpinan, Ustaz Zahazan masih kuat walau terkadang mengecam pimpinan, dan Ustaz Zamri walau di ‘gam’ masih terus-terusan melebarkan senyuman dakwah! Oh, aku terlupa…kecewamu pada orang agamawan telah membutakan matamu dari semua ini. Tidak mengapa, semoga matamu celik kembali selepas pembedahan yang menyakitkan.


 Guruku, hatiku bersenandung merdu. Aku pencinta kebenaran dan kau dakwa dirimu jua begitu. Namun, kenapa serasinya tiada? kenapa lubangnya tidak secocok?. Mungkin sahaja, kebenaran yang kupinta dan kebenaran yang kau terokai itu berbeda. Tidak mengapalah wahai guru, melangkahlah engkau pada jalanmu dan aku bertatih pada landasanku. Moga kelak cahaya bersinar yang kita temui di penghujung jalan ini. Apa-apapun, aku menucapkan…Terima Kasih guruku! Terima Kasih ya Rabbul Izzati~ ^^